PADA awalnya, Melinda Gates lebih selesa menjadi tokoh di belakang tabir - tanpa publisiti, perhatian atau glamor.
“Kemudian saya terfikir kebanyakan wanita hebat dalam sejarah berani ke depan dan menghadapi masyarakat,” kata isteri kepada pengasas Microsoft dan seorang daripada tokoh terkaya di dunia.
Lahir sebagai Melinda Ann French pada 15 Ogos 1964 dalam keluarga sederhana, secara umumnya dia mempunyai kelayakan/kemampuan lebih tinggi daripada si suami, Bill Gates.
Memiliki ijazah pertama (dengan pengkhususan berganda dalam bidang sains komputer dan ekonomi) dari Universiti Duke pada 1986, Melinda juga memperoleh ijazah kedua, sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dari universiti sama setahun kemudian.
Bill pula disingkirkan dari Universiti Harvard sebelum diberikan ijazah kehormat pada Jun tahun lalu.
Melinda juga aktif berolahraga. Seminggu sekali dia bersama rakan-rakannya berlari sejauh 11 kilometer selama sejam dan beriadah lima hari seminggu.
Dia pernah menamatkan Maraton Seattle dan memanjat Mount Rainier (4,392 meter) di Washington.
Sebagai perbandingan, kata Melinda, Bill akhirnya mula berjoging pada tahun lalu.
“Dia juga seorang pemain tenis agresif dan peminat golf,” katanya.
Selebihnya, Bill gemar berlari di atas mesin larian sambil menonton filem tiga kali seminggu.
Kata Bill, Melinda juga lebih memahami berbanding dirinya.
“Melinda banyak berjasa, termasuk ketika proses peralihan kuasa jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft daripada saya kepada Steve Ballmer,” katanya.
Namun, kedua-dua mereka setara dalam kerja-kerja kebajikan.
Melalui Yayasan Bill & Melinda Gates, mereka bersama manusia terkaya di dunia - Warren Buffet - berlumba-lumba menderma kepada pihak memerlukan.
Melinda berkahwin dengan Bill 14 tahun lalu ketika lelaki itu memiliki kekayaan peribadi bernilai AS$64 bilion (RM208 bilion) dengan mempertaruhkan banyak perubahan dalam dirinya.
Walaupun bersuamikan manusia terkaya di dunia (ketika itu), Melinda harus mengakui bahawa dia mesti berkorban.
Hak ‘privacy’ dan keselamatan, misalnya, perlu disesuaikan dengan kedudukannya ketika itu.
Pada akhir 1990-an juga, Bill dianggap pembuli utama dalam dunia bisnes.
Justeru, Melinda perlu bersikap lebih tabah untuk dilihat bukan sekadar pelengkap sampingan untuk ‘pembuli’ itu.
Tidak seperti suaminya yang lahir di kalangan orang dihormati di Seattle, bapa Melinda, Raymond Joseph French, Jr adalah seorang jurutera yang mengendalikan program angkasa di LTV Corp.
Ibu Melinda, Elaine Agnes Amerland, suri rumah yang ternyata menyesal tidak memasuki mana-mana kolej ketika mudanya.
Kata Melinda, itu tidak menghalang pasangan French - Elaine memberi penekanan kepada aspek pendidikan.
“Ibu bapa saya berkata, masuklah ke kolej mana pun, mereka akan membiayainya,” katanya.
Melinda adalah anak kedua daripada empat beradik. Saudara sulungnya seorang wanita yang 14 bulan lebih tua daripadanya, manakala dua adiknya lelaki.
Ketika di sekolah menengah di Ursuline Academy di Dallas, Texas, Melinda sering meletakkan sasaran secara harian.
Itu cerita didedahkan bekas gurunya, Susan Bauer.
Namun, mendengar kenyataan Susan, Melinda ketawa ketawa.
“Sasaran saya mudah - berlari sejauh sebatu, belajar istilah baru atau sesuatu lain yang sederhana,” katanya.
Di sekolah itu, Melinda mengesan sesuatu.
“Hanya dua pelajar terbaik dari Ursuline Academy ditawarkan tempat ke universiti.
“Jadi satu-satunya cara saya mahu melanjutkan pelajaran ialah dengan merebut tempat terbaik,” katanya yang mengidamkan Universiti Nortre Dame di Indiana.
Memang Melinda berjaya mendapat tempat ke universiti berprestij itu, tetapi ada halangannya.
“Mereka mengecilkan jumlah tempat di jabatan sains komputer dengan alasan ia kurang mendapat sambutan,” katanya.
Maka dia memilih Universiti Duke di North Carolina yang kebetulan meningkatkan pengambilan pelajar dalam bidang berkenaan.
Selepas lima tahun, dia memperoleh ijazah pertama dan MBA di situ.
Ketika ditemuduga di syarikat IBM, Melinda memberitahu bahawa dia juga sepatutnya menghadiri satu lagi sesi temu duga di ‘syarikat baru’, Microsoft.
Pegawai IBM itu kemudian menasihatkannya: Jika dapat tawaran daripada Microsoft, pergilah, kerana peluang untuk maju sangat besar di situ.
Melinda tiba di Seattle pada 1987 dan bertugas sebagai pengurus pemasaran Microsoft.
Pada usia 22 tahun, Melinda adalah gadis naif dan tidak tahu banyak apa yang bakal berlaku padanya di situ.
Microsoft dipenuhi kakitangan pintar yang tekun ‘mengubah dunia’.
Cuma budaya di situ, akui Melinda, mengganggunya.
“Microsoft syarikat yang meminta komitmen penuh daripada pekerja dan tidak mesra - bermula daripada Bill Gates dan rakannya, Steve Ballmer,” katanya.
Maka tidak hairanlah apabila Melinda terfikir untuk berhenti walaupun tidak berbuat demikian.
Empat bulan selepas menjadi ahli keluarga Microsoft, Melinda mengikuti rombongan syarikatnya ke Expo PC di New York.
Satu malam, dia menghadiri majlis makan malam dan kerusinya diletakkan bersebelahan CEO Microsoft, iaitu Bill sendiri.
“Rupa-rupanya dia seorang yang kelakar daripada apa yang saya sangkakan,” katanya.
Apakah yang menarik perhatian Melinda ketika itu?
“Rasanya wajah Bill,” katanya.
Satu hari, Melinda terserempak dengan Bill ketika di tempat letak kenderaan Microsoft.
“Kami berbual seketika sebelum Bill bertanya sama ada saya sudi keluar bersamanya ‘dua minggu lagi’.
“Saya tidak memberikan jawapan, sebaliknya meminta Bill menghubungi saya semula menjelang hari yang dimaksudkan,” katanya.
Malam itu, Bill menghubunginya dan berjanji untuk keluar bersama tidak lama kemudian.
Tetapi, kata Bill, kesanggupan Melinda keluar dengannya bukan disebabkan pengaruh kekayaan dimiliki - dengan gelaran bilionair - ketika itu.
“Hatinya terlalu sukar dimenangi,” kata Bill.
Ia berpunca daripada pendirian Melinda dan ibunya bahawa berpacaran dengan seorang CEO bukanlah idea baik.
Selepas menjalin hubungan, Melinda menggariskan ‘sempadan’ di antara soal peribadi/emosi dengan kerjaya.
“Saya tidak mahu terdedah kepada orang lain sebagai teman Bill. Malah, pada satu tahap, Bill sendiri tidak tahu apa yang saya lakukan di pejabat,” katanya.
Walaupun begitu, nasib Melinda memang cerah di Microsoft.
Dalam tempoh sembilan tahun, dia dilantik sebagai pengurus besar maklumat produk dan bertanggungjawab terhadap 300 kakitangan.
Pada awal 1990-an, Bill dan Melinda, bersama kenalan mereka, Buffett (memiliki kekayaan AS$7.3 bilion ketika itu) mula memikirkan idea memanfaatkan kekayaan mereka untuk golongan memerlukan.
Peguam Bill mencadangkan penubuhan yayasan khas untuk tujuan itu.
Tidak lama selepas berkahwin pada 1 Januari 1994, ibu Bill, Mary, meninggal dunia akibat kanser payudara dan mencetuskan penubuhan Yayasan William H Gates III.
Sementara itu, Buffett bercadang menikmati kekayaannya yang melimpah-ruah itu sehingga mati.
Bagaimanapun, bilionair yang dianggap pelabur pasaran saham terhebat di dunia dan CEO serta pemegang kepentingan terbesar syarikat Berkshire Hathaway itu mengubah sikapnya selepas isterinya, Susan, meninggal dunia pada 2004.
Kehilangan itu tidak dimaklumkan kepada Bill dan Melinda sehinggalah dua tahun kemudian.
Mendengar khabar itu, kedua-dua mereka menangis kesedihan sehingga menimbulkan kesedaran untuk menubuhkan yayasan kebajikan.
Maka, Yayasan Bill & Melinda Gates yang ditubuhkan pada 2000 semakin aktif - kali ini diperkukuhkan lagi dengan pembabitan Buffett.
Ia dianggap yayasan terbesar di dunia dengan aset bernilai AS$41 bilion, termasuk AS$3.7 daripadanya sumbangan Buffett (kini memiliki kekayaan peribadi bernilai AS$67 bilion).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment