Dunia baru sahaja menyambut hari Dadah Antidadah Antarabangsa pada 26 Jun lalu dengan pelbagai kempen, ceramah dan perarakan. Namun, beberapa hari lalu, dunia terutamanya Asia Tenggara menerima amaran baru.
Kemungkinan lebih ramai yang akan terjebak dengan perangkap sebagai pengantara bahan itu.
Pegawai tinggi narkotik India dan Pakistan mengingatkan kerajaan di Asia Tenggara tentang kemungkinan pengedar dadah dari Afrika meningkatkan kegiatan mereka menggunakan wanita Asia bagi menyeludup heroin ke rantau berkenaan, berikutan penuaian hasil candu yang lumayan di Afghanistan.
Amaran terbaru ini dikeluarkan hanya beberapa hari selepas Pejabat Bangsa Bersatu Bagi Dadah dan Jenayah (UNDOC) menyiarkan Laporan Dadah Sedunia 2008, yang menyebut bahawa Afghanistan mencatat hasil tuaian candu terbesar pada tahun lepas - 8,200 tan metrik atau 92 peratus daripada jumlah keluaran dunia - hampir sekali ganda daripada jumlah keluaran candu secara haram dunia sejak 2005.
Timbalan Pengarah Biro Kawalan Narkotik India (NCB), A.P. Siddiqui berkata, pengeluaran candu Afghanistan - bahan mentah bagi penghasilan heroin - pada tahun ini akan melebihi 8,000 tan metrik. Ini mungkin membawa kepada pengaliran lebih banyak heroin ke rantau Asia Tenggara, sama ada melalui India atau Pakistan, laluan utama yang sering digunakan pengedar dadah dari Afrika.
"Apabila China muncul sebagai pembeli utama, sudah tentu hasil keluaran Afghanistan yang banyak itu akan sampai ke negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand, tambahan pula berikutan langkah Myanmar mengurangkan penanaman tanaman itu sejak beberapa tahun lepas," kata Siddiqui.
Sejak Januari tahun ini, pihak berkuasa India telah menangkap tujuh wanita - kebanyakannya warga Thailand dan Filipina - yang diperalatkan oleh warga Afrika bagi menyeludup heroin dalam kuantiti kecil ke beberapa ibu kota negara Asia.
"Kini, enam wanita Thailand ditahan di Penjara Tihar (Delhi). Pada mulanya, rakyat Nigeria menggunakan wanita Thailand, tapi setelah kami menangkap wanita berkenaan, mereka beralih pula kepada rakyat negara lain, termasuk dari Filipina dan India. Mereka rasa terhimpit sekarang," kata Siddiqui.
Pengarah Direktorat Risikan Hasil India P. Babu pula mengesahkan bahawa pengedar dadah warga Afrika di India kini semakin aktif dan bergantung pada wanita Asia untuk menjalankan kegiatan kotor mereka.
"Siasatan awal kami mendapati bahawa kumpulan dari Nigeria terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah ini dan mengupah wanita yang menjadi penumpang pesawat sebagai menyeludup. Kami tidak boleh katakan secara pasti bahawa destinasi utama mereka ialah Kuala Lumpur, tapi apa yang memeranjatkan ialah Kuala Lumpur menjadi laluan popular mereka," kata Babu.
Pakistan, yang berjiran dengan India dan sering dijadikan transit oleh pengedar dadah, juga menjadi sarang bagi pengedar dadah wanita, yang digunakan oleh kumpulan pengedar dadah antarabangsa yang mendapat bekalan dari Afghanistan.
Dalam tempoh enam bulan lepas, ejen narkotik Pakistan merampas sejumlah 50kg heroin dan 1,150kg hashish daripada pengedar yang berasal dari pelbagai negara, termasuk tiga warga Afrika dan seorang rakyat Thailand.
Seorang pegawai narkotik kanan Pakistan yang enggan dikenali memberitahu Bernama bahawa peningkatan pengeluaran candu di Afghanistan berikutan cuaca baik musim lepas, akan mendorong lebih banyak kegiatan penyeludupan dadah dari negara itu ke pasaran Asia Tenggara yang dikawal oleh peniaga dadah dari Afrika.
"Dalam tempoh enam bulan lepas, kami menangkap lebih 18 pengedar yang ingin menuju ke Kuala Lumpur bagi membawa bekalan kepada mafia dari Nigeria, Afrika dan dari beberapa negara Eropah yang beroperasi di Asia Tenggara.
"Negara berkenaan perlu berusaha mengurangkan permintaan dan mengenakan hukuman berat sebagai penghalang kepada pengedar," katanya.
Wanita Malaysia tidak terkecuali turut menjadi mangsa kegiatan penyeludupan dadah di Pakistan. Siti Aishah Hamid, 43, yang menghidap penyakit tulang rapuh dipercayai menjadi mangsa sindiket selepas ditahan di Pusat Tahanan Wanita, Karachi, Pakistan, atas cubaan membawa heroin seberat 950 gram, April lalu.
Selain Pakistan beberapa negara lain yang turut menjadi tumpuan penyeludup dadah dengan menggunakan wanita Malaysia termasuklah Jepun, China dan Australia.

No comments:
Post a Comment